A- A A+
Malay English

Sejarah Projek

SEJARAH PROJEK LEBUHRAYA PANTAI TIMUR FASA2 (PLPT2) 2004 – 2012

Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (PLPT2) bermula dengan kelulusan daripada Kementerian Kewangan pada 15 Julai 2004 dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dan diuruskan oleh Kementerian Kerja Raya. Pembinaan projek ini dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya ( JKR ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui pembahagian kerja mengikut nisbah 70: 30.

Pada 26 November 2004 upacara pecah tanah telah dilakukan. Seramai 22 Juruukur Tanah telah dilantik pada 13 Disember 2004 untuk menentukan keluasan tanah bagi membina projek ini.Pada 01 Jun 2005, Jemaah Menteri telah bersetuju dan meluluskan cadangan jajaran  PLPT2. Pihak JKR telah membahagikan 120 km jalan utama dan 64 km jalan susur yang di bawah tanggungjawabnya kepada 16 pakej pembinaan di mana setiap pakej panjangnya antara 3 km hingga 14 km. Kelulusan ini telah membawa kepada tender pertama iaitu Pakej 11 pada 27 Jun 2005 yang mana pembinaan dikawalselia sepenuhnya oleh JKR. Seramai 13 Perunding Kejuruteraan telah dilantik pada 17 Februari 2006 untuk membantu pihak JKR menyelia kerja-kerja pelaksanaan projek ini. Bagi memenuhi keperluan pemuliharaan alam sekitar di tapak pembinaan, maka kelulusan Laporan EIA telah diperolehi pada 14 Januari 2007. Pakej terakhir yang ditender dalam projek ini adalah Pakej Kawasan Rehat & Rawat Perasing iaitu pada 13 Mei 2009.Disebabkan masalah kenaikan harga barang (bahan mentah) pada Februari 2007 maka Pakej 11 telah ditamatkan kontrak pada 17 Oktober 2008 secara Persetujuan Bersama (Mutual Termination). Walaubagaimanapun ianya telah ditunda semula pada 01 September 2009 setelah mendapat kelulusan Kementerian Kerja Raya.Berikutan masalah yang sama dan pihak kontraktor tidak mampu menyiapkan kerja maka sebanyak 6 pakej iaitu Pakej 1A, 1B, 2, 3, 8 dan 9B telah ditamatkan kontrak secara persetujuan bersama pada bulan September 2009 – Mac 2010. Semua 6 pakej ini ditender semula pada bulan April – Mei 2011 untuk menyempurnakan baki kerja yang belum siap.Pada Jun 2011, tiga (3) lagi Pakej iaitu Pakej 1C, 4 dan 7 ditamatkan kontrak dengan kaedah yang sama. Walaubagaimanapun Pakej 1C dan Pakej 4 ditender semula masing – masing pada Mac 2012 dan November 2012 .

Keseluruhan pakej utama dan komponen sampingan dijangka siap pada Disember 2014..